Apa itu industri pelancongan?
Oxford English Dictionary
mendefinisikan pelancongan adalah orang yang membuat lawatan atau kunjungan
pada masa kelapangan (Honey, 1999). Di Malaysia industri pelancongan mula
muncul pada akhir tahun 1960. Industri pelancongan tidak dianggap sebagai
aktiviti ekonomi yang utama sehingga ke tahun 1970 kerana pada masa itu,
sumbangan komoditi utama seperti getah dan bijih timah adalah jauh lebih
penting. Pada tahun 1970, kerajaan Malaysia mula membangunkan industri
pelancongan untuk memenuhi beberapa objektif seperti peningkatan pendapatan
dalam pertukaran mata wang asing, meningkatkan peluang pekerjaan dan
pendapatan, menggalakkan pembangunan kawasan, mempelbagaikan ekonomi dan
meningkatkan hasil kerajaan.
Pelancongan mempunyai pelbagai maksud
mengikut perspektif dan pandangan pihak- pihak yang terlibat sama ada secara
langsung ataupun tidak langsung dengan industri pelancongan. Ini termasuklah
pelancong itu sendiri, organisasi penginapan dan pengangkutan, organisasi
pendidikan, pihak kerajaan dan sebagainya lagi.Perkataan tourism datang
daripada perkataan Latin iaitu tornare dan juga Greek iaitu tornos yang membawa
maksud pergerakan dalam suatu bulatan. Pada awalnya, Jafari(1977)
mendefinisikan pelancongan sebagai, “Suatu kajian manusia yang bertentangan
dengan habitat semula jadi mereka serta penglibatan industri yang bertindak
balas pada keperluan mereka, dan juga kesan ke atas diri mereka dan industri
itu daripada sudut sosio budaya, ekonomi dan persekitaran.” Pengertian yang
meluas ini sukar difahami kerana ia tidak menjelaskan secara mendalam apa yang
dimaksudkan sebagai pelancongan dan apakah faktor-faktor yang terlibat dalam
membangunkan industri ini.Oleh itu, wujud definisi lain yang cuba memberi
penjelasan secara mendalam mengenai pelancongan. Sebagai contoh, Leiper (1981)
menjelaskan pelancongan sebagai, “Suatu sistem terbuka yang mempunyai hubungan
dengan persekitaran yang luas, elemen manusia iaitu pelancong, elemen kawasan
iaitu kawasan asal, kawasan persinggahan dan kawasan destinasi yang terpilih,
elemen ekonomi iaitu industri pelancongan dan elemen dinamik iaitu terdiri
daripada individu yang mengembara bagi tujuan berehat jauh dari tempat asal
mereka selama lebih kurang satu hari.”Walaupun definisi ini agak mendalam,
sekurang-kurangnya ia memberi pengertian yang jelas berkenaan pelancongan dan
elemen-elemen yang terlibat dalam industri pelancongan secara khususnya.
Kelima-lima elemen itu adalah persekitaran, manusia,kawasan,ekonomi dan
dinamik. Oxford English Dictionary mendefinisikan
pelancongan adalah orang yang membuat lawatan atau kunjungan pada masa
kelapangan (Honey, 1999). Di Malaysia industri pelancongan mula muncul pada
akhir tahun 1960. Industri pelancongan tidak dianggap sebagai aktiviti ekonomi
yang utama sehingga ke tahun 1970 kerana pada masa itu, sumbangan komoditi
utama seperti getah dan bijih timah adalah jauh lebih penting. Pada tahun 1970,
kerajaan Malaysia mula membangunkan industri pelancongan untuk memenuhi
beberapa objektif seperti peningkatan pendapatan dalam pertukaran mata wang
asing, meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan, menggalakkan pembangunan
kawasan, mempelbagaikan ekonomi dan meningkatkan hasil kerajaan.
Tahap pembangunan industri pelancongan.
Pelancongan merupakan industri
perkhidmatan utama yang kian berkembang maju dan mendatangkan keuntungan besar
dalam bentuk tukaran asing serta memasyhurkan Malaysia di mata dunia. Pada
tahun 2000, seramai 10.2 juta orang pelancong (termasuk pelancong domestik) berkunjung ke Malaysia
yang menghasilkan pendapatan RM20 bilion, termasuk RM17 bilion daripada pertukaran
asing (Berita Harian, 17 Okt 2015).Angka tersebut melebihi jangkaan 6.4 juta
pelancong yang diramalkan akan datang ke Malaysia. Malaysia juga merupakan
negara ketiga paling ramai menerima pelancong di Asia Timur – selepas China dan
Hong Kong.
Malaysia merupakan destinasi pelancongan
tropika indah yang sangat berpotensi di Asia yang bukan sahaja dapat menarik
pelancong antarabangsa tetapi juga menawan warga tempatan. Pelancongan menjadi
suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri
berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai faktor utama dalam
pembangunan Malaysia menuju negara maju
dalam abad ini. Potensi industri pelancongan sebagai penjana ekonomi baru
negara hanya dapat direalisasikan jika usaha-usaha memajukan dan membangunkan
industri pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Isu-isu seperti pelancongan
eko, alam sekitar, visa, kemudahan lapangan terbang, kebersihan persekitaran,
sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong, semuanya menyumbang secara
positif dan negatif kepada jumlah pelancong yang melawat Malaysia.Kejayaan
industri pelancongan tidak semata-mata bergantung kepada kempen dan promosi
galakan (melalui pengiklanan yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit)
di dalam dan luar negara.
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan
Pelancongan telah ditubuhkan pada tahun 1987. Kementerian ini memainkan peranan
dalam menyediakan insentif, meningkatkan mutu kemudahan asas, membuat promosi
yang lebih menyeluruh dan menyediakan peruntukan untuk memajukan industri ini.
Kemudiannya kementerian ini telah ditukarkan kepada Kementerian Pelancongan
Malaysia sehingga ke hari ini.
Sektor pelancongan negara merupakan salah
satu sektor yang penting dalam ekonomi negara. Sehingga kini, sektor
pelancongan merupakan sektor kelima terbesar Negara selepas sektor perkhidmatan
kewangan, kelapa sawit, borong dan runcit, gas dan tenaga, dan petroleum. Namun
begitu pada peringkat awal selepas pasca kemerdekaan Malaysia, kerajaan tidak
memberi penekanan terhadap sektor pelancongan. Kerajaan pada ketika itu lebih
memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur negara dan melawan ancaman
komunis. Selain itu, faktor ancaman dari luar seperti konfrantasi dengan
Indonesia turut menjejaskan fokus kerajaan pada ketika itu. Ia sekaligus
melambatkan pekembangan sektor pelancongan di Malaysia.
Pada era tahun 60-an, sektor pelancongan
masih belum memainkan peranan yang penting terhadap perkembangan ekonomi
negara. Kerajaan pada ketika itu memberi tumpuan kepada sektor hasil bumi
seperti bijih timah dan getah. Walaubagaimanapun, sektor pelancongan negara
telah mula dilihat mengalami perkembangan positif pada era tahun 70an. Ketibaan
pelancong melalui udara dan air ke Malaysia telah meningkat.
Sektor pelancongan negara dilihat semakin
berkembang pada awal tahun 80-an. Pada ketika ini negara sudah aman daripada
ancaman komunis dan juga ancaman luar. Pada tahun 1987, Kementerian Kebudayaan
dan Pelancongan telah ditubuhkan. Kemudian pada tahun 1990 kerajaan telah
menaiktaraf kementerian tersebut kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan
Pelancongan Malaysia. Dengan penubuhan tersebut, ia telah merancakkan lagi
pembangunan industri pelancongan negara.
Dalam konteks dunia
hari ini, pelancongan merupakan salah satu kegiatan ekonomi dan sosial yang
semakin penting. Jumlah pelancong dalam negeri dan antarabangsa semakin
meningkat malah, beberapa buah negara di dunia kini memajukan sektor
pelancongan sebagai sektor utama yang menjana pendapatan negara (Inskeep,
1996). Pelancongan juga merupakan sektor yang melibatkan peranan yang saling
kaitan antara pihak kerajaan, bukan kerajaan dan juga orang awam (Salah Wahab
dan Cooper, 2003).
Dalam konteks Malaysia, pelancongan terus
menjadi sumber utama tukaran wang asing yang menyumbang kepada pertumbuhan
ekonomi, pelaburan dan guna tenaga. Kedatangan pelancong sejumlah 16.4 juta
pada tahun 2005 telah menyumbang sebanyak RM 18.1 bilion kepada pendapatan
negara (Malaysia, 2006). Perkembangan sektor pelancongan di Malaysia telah
dipengaruhi oleh perubahan yang besar dan potensi industri pelancongan pada
masa hadapan. Memandangkan industri pelancongan kini merupakan satu pemangkin
kepada pendapatan negara, maka pendekatan yang bersepadu dilaksanakan dalam
perancangan dan perlaksanaan industri pelancongan secara mampan. (Nurulashila
Khalid, 2006).
Ironinya, begitulah serba ringkas senario
perkembangan sektor pelancongan di dunia sehingga ke hari ini. Malah, kini
dengan peningkatan ekonomi serta jalinan hubungan yang baik antara sebuah
negara dengan negara yang lain, sektor pelancongan terus menjadi sektor yang
semakin berkembang terutamanya dalam konteks globalisasi dan dunia tanpa
sempadan.
Kini Malaysia di iktiraf pada peringkat
global sebagai antara destinasi pelancongan yang utama, dengan kedudukan di
antara 10 yang teratas dari segi peningkatan pelancong dan antara 15 yang
teratas dari segi penerimaan global. Industri pelancongan juga merupakan
penyumbang yang penting kepada ekonomi Negara.Malaysia mempunyai kedudukan yang kukuh untuk melonjakkan dirinya menjadi
destinasi pelancongan yang utama. Industri pelancongan di Malaysia sudah
sememangnya besar, dan telah pun berkembang dengan pantas dalam tempoh 10 tahun
yang lepas dan juga mempunyai kedudukan daya saing global yang kukuh. Asas yang
kukuh ini dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan sumbangan sektor pelancongan
kepada ekonomi Negara.
Kepentingan dan sumbangan industri pelancongan terhadap
pembangunan ekonomi negara.
Antara kepentingan dan
sumbangan industri pelancongan terhadap pembangunan ekonomi negara kita ialah
dapat meningkatkan pengaliran wang asing, dapat memajukan bidang perniagaan di
Malaysia, membuka peluang pekerjaan yang lebih luas, memajukan sektor pengangkutan
dan perhubungan.
Dari segi ekonomi,sektor pelancongan dapat
meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara
kita.Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara
mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini. Ini
dapat dilakukan sama ada di bank tempatan atau di pusat pertukaran mata wang
asing. Mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai
perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Peniaga mata wang asing juga
mendapat keuntungan daripada pernigaan yang dijalankan. Pengaliran masuk mata
wang asing ke negara kita bukan sahaja menguntungkan entiti perniagaan bahkan
dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat tempatan
dari luar negara.
Di samping itu,sektor pelancongan juga
dapat memajukan bidang perniagaan di Malaysia. Ini adalah kerana pelancong
asing yang datang ke Malaysia memerlukan tempat penginapan, makanan dan
minuman, perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong dan perkhidmatan yang
lain-lain. Pelancong asing amat menggemari makanan sama ada makanan tradisonal
mahu pun makanan barat di Malaysia. Mereka diberi pilihan yang amat banyak sama
ada menikmati makanan di hotel bertaraf lima bintang, medan selera yang besar
dan berhawa dingin mahupun di kedai dan warung yang terletak di tepi jalan.
Mereka juga boleh menikmati hidangan makanan laut di restoran yang didirikan
secara terapung di atas air. Sambil menikmati makanan, mereka dapat menghirup
panorama yang amat cantik dan menghirup udara segar di tepi laut. Permintaan
yang tinggi terhadap makanan ini mewujudkan peluang perniagaan yang luas kepada
usahawan tempatan. Pusat-pusat penginapan juga giat dibina bagai cendawan
tumbuh selepas hujan di kawasan peranginan seperti di pulau dan tepi pantai.
Pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang,
resort atau menginap secara pakej seperti ”Eco-Tuorism” yang membolehkan
pelancong asing menginap di rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat
termasuk cara berpakaian, makanan tradisional dan sebagainya. Pelancong juga
memerlukan perkhidmatan pengangkutan untuk bergerak dari satu lokasi
pelancongan ke lokasi yang lain. Ini membolehkan pengusaha bidang pengangkutan
seperti bas, teksi, van, bot, feri dan lain-lain mendapat peluang untuk
menjalankan perniagaan. Oeh itu,sektor pelancongan ini telah banyak menyumbang
dari segi ekonomi terhadap negara kita.
Dari segi politik,sektor pelancongan dapat
memperkenalkan negara Malaysia ke seantero dunia.Misalnya, melalui kejohanan
perlumbaan kereta Formula 1 di litar Sepang, Sukan Komanwel 1998, kita dapat
mempopularkan negara kita dalam kalangan peminat sukan dunia. Selain itu, kita
dapat membuktikan bahawa kita mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij
dunia yang lengkap dengan pelbagai kemudahan prasarana. Slogan ‘’Malaysia Boleh’’
telah membuktikan keupayaan negara kita dalam penganjuran sukan yang bertaraf
antarabangsa tersebut. Melalui penganjuran Kejohanan F1, Malaysia dapat
dipromosi ke seluruh dunia dengan kos yang rendah melalui siaran langsung
kejohanan tersebut ke seluruh dunia. Ini telah membuktikan bahawa tarikan
penganjuran sukan bertaraf dunia bukan sahaja menggalakkan kedatangan pelancong
ke negara kita bahkan dapat mempromosi Malaysia kepada dunia luar secara meluas
dengan kos yang minima bertepatan dengan maksud peribahasa, ”Sambil Menyelam
Minum Air”.
Halangan / Cabaran industri pelancongan.
Isu moral pelancong asing di
negara sebenarnya adalah satu cabaran baharu industri pelancongan di Malaysia.
Kes-kes seperti
pelancong asing berjemur di pantai tanpa pakaian dan separuh bogel adalah satu
cabaran yang sukar ditangani sekiranya mereka ini tidak memahami budaya negara
ini atau dengan sengaja tidak mahu menghormati peraturan-peraturan yang telah
ditetapkan di sesuatu destinasi pelancongan kita. Setiap lokasi pelancongan
di negara kita tidak kira sama ada pantai, pulau, tempat bersejarah, tanah
tinggi dan sebagainya sudah mempunyai peraturan-peraturan yang ditulis dalam
pelbagai bahasa untuk mengingatkan setiap pelancong tentang apa yang boleh
dibuat dan apa yang tidak boleh di kawasan-kawasan pelancongan tersebut.
Maka, ini semua
bergantung kepada penguatkuasaan, pemantauan dan sikap pelancong itu sendiri
untuk mengelakkan berlakunya perbuatan-perbuatan yang sumbang pada pandangan
rakyat tempatan kita. Pelancong yang bertanggungjawab
tentunya akan menghormati budaya, agama dan sensitiviti penduduk di sesebuah
negara yang dilawati, bukannya membawa pelbagai masalah kepada negara yang
dikunjungi.
Antara cabaran dan
halangan lain yang dihadapi oleh sektor pelancongan ialah persaingan sektor
pelancongan dengan negara-negara yang lain. Hal ini demikian,bukan sahaja
negara kita tetapi negara-negara yang lain juga mengetahui kebaikan dan
kepentingan sektor pelancongan terhadap sesebuah negara. Setiap negara
mempunyai keistimewaan tersendiri yang menjadi pusat tarikan masing-masing
termasuklah pusat membeli-belah, makanan, tempat tema, keindahan alam
semulajadinya dan banyak lagi. Justeru itu, kreativiti sesebuah negara dalam
mempromosikan negara masing-masing adalah amat penting untuk menjadikan
Malaysia destinasi utama pelancong dan kita hendaklah bersaing dengan negara
lain untuk menaikkan nama Malaysia di mata dunia.Oleh itu, seluruh rakyat
Malaysia haruslah membuat persediaan yang cukup untuk menarik minat para
pelancong ke Malaysia.
Kestabilan politik sesebuah negara amat
memainkan peranan dan sekiranya kestabilan politik ini tidak dapat dicapai ia
juga akan memberi impak yang besar kepada negara termasuklah pelaburan,
perusahaan mahupun pelancongan. Ketidakstabilan politik menyebabkan pembangunan
negara menjadi perlahan yang menyebabkan pembinaan prasarana untuk pelancong
semakin berkurangan, serta semua aktiviiti pembangunan yang dirancang juga akan
terganggu. Selain itu, ketidakstabilan politik juga
menyebabkan imej negara turut terjejas. Ramai pelancong tidak akan melancong ke
negara ini dan secara langsung mereka akan mempengaruhi rakan-rakan mereka yang
lain. Sebagai contoh adalah rusuhan atau peperangan yang berlaku di sesebuah
negara menyebabkan pelancong takut untuk pergi ke negara tersebut. Imej negara
ini juga dikhuatiri akan berlanjutan dalam tempoh yang lama walaupun kestabilan
politik telah dicapai disebabkan imej buruk yang telah terjejas. Jelaslah,
politik yang tidak stabil akan membawa banyak kesan buruk pada sektor
pelancongan.
Di samping itu, pencemaran alam sekitar
juga merupakan salah satu cabaran sektor pelancongan di negara kita. Hal ini
disebabkan, pencemaran alam sekitar kebelakangan ini menjadi semakin buruk
akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir ahli masyarakat dan telah
merosakkan kecantikkan alam sekeliling kita. Pada masa kini,negara kita
mempunyai alam sekeliling yang cantik sekali dan telah menjadi tulang belakang
bagi sektor pelancongan di negara kita. Jika pencemaran alam sekitar menjadi
buruk, sektor pelancongan di negara kita pasti akan terjejas kerana
pelancong-pelancong hendak menikmati
persekitaran yang cantik dan bersih bukan persekitaran yang kotor serta busuk.
Alam sekitar merupakan elemen yang penting dalam
industri pelancongan kerana kebanyakan pelancong akan melancong ke negara kita
kerana keindahan alam semulajadi negara kita. Tidak bermaknalah jika negara
mempunyai banyak keindahan alam yang boleh dikunjungi tetapi berlakunya
pencemaran tersebut yang mencacatkan keindahan alam secara langsung memberi
imej yang negatif kepada negara.
Justeru, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab masing-masing untuk menjaga
kebersihan alam sekitar untuk menarik lebih ramai pelancong dan menjaga imej
sesebuah negara. Tanggungjawab ini bukan sahaja perlu dipikul oleh pihak
kerajaan atau pihak yang berkenaan sahaja bahkan seluruh masyarakat perlu
mempunyai kesedaran tentang alam sekitar untuk kebaikan bersama.
Selain daripada itu, budaya tempatan yang
semakin dilupai oleh orang ramai juga merupakan salah satu faktor cabaran bagi
perkembangan industri pelancongan. Pada era
globalisasi ini, terdapat ramai remaja mengabaikan kebudayaan sendiri dan
mempelajari budaya barat. Kebudayaan merupakan faktor yang penting dalam sektor
pelancongan kerana pelancong-pelancong ingin merasai dan mengetahui kebudayaan
tradisi negara yang tidak ada di negara lain. Antaranya adalah seni silat,
tarian tradisional, pakaian tradisional dan banyak lagi yang semakin dilupakan
oleh anak muda masa kini. Jika budaya negara kita tidak diwarisi oleh anak-anak
muda ketika ini, keunikan sesebuah negara akan hilang dan akan membawa kepada
kekurangan pelancong yang akan datang ke negara kita.
Kesimpulannya, negara kita akan menghadapi
banyak cabaran dalam sektor pelancongan pada masa hadapan. Kita sebagai
penduduk di negara kita haruslah menghulurkan tangan bagai aur dengan dengan
tebing untuk menghadapi segala cabaran pada masa hadapan. Marilah kita
bersama-sama membantu untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai sumber
pendapatan ekonomi yang kukuh di negara
kita.
Sistem sokongan oleh pihak kerajaan dan swasta yang
ditawarkan untuk pembangunan industri pelancongan.
Di dalam menjalankan
tugas-tugas yang diperuntukkan, garis-garis yang ditetapkan oleh Perbadanan
adalah seperti memperkenalkan Malaysia di dalam pasaran antarabangsa dan
serantau, menambahkan perjalanan warganegara Malaysia di masa cuti di antara
negeri bagi menggiatkan lagi perkembangan pelancongan dalam negeri menyertai
dalam pembangunan fizikal industri pelancongan, mengadakan perhubungan
perwakilan dan menjalani tugas-tugas yang berhubung dengan pelancongan
Antarabangsa dan serantau, menempatkan Malaysia sebagai pusat konvensyen,
mengikuti perkembangan pembangunan dan mempastikan keperluan sekarang dan masa
depan bagi pelancong-pelancong dalam negeri dan luar negeri dan juga membuat
pengesyoran bagi pembangunan Wilayah, mengumpul, mengolah data-data pelancongan
dan keterangan-keterangannya bagi penggunaan statistik pelancongan, mengatur,
mengawal dan menentukan Industri Pelancongan berkembang bagi kepentingan
negara.Dalam Rancangan Malaysia ke-6 (RMK-6: 1991-1995), kerajaan telah
bekerjasama dengan pihak swasta dalam membangunkan produk-produk pelancongan
baru. Kemudian, pada tahun 1994, kerajaan sekali lagi melancarkan Tahun Melawat
Malaysia 1994 (TMM 94) dengan menawarkan 170 program dan acara merangkumi
kebudayaan, kesenian, kraftangan, perayaan kebangsaan, sukan, konvensyen dan
pameran.
Pelbagai aktiviti yang menarik telah diadakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan
bukan kerajaan. Aktiviti yang
dimaksudkan adalah seperti pameran
kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi
(LIMA) dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan
pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa
dengan promosi yang lengkap
dan meluas. Penganjuran
sukan bertaraf antarabangsa dapat memperkenalkan negara
kepada perwakilan atau atlet-atlet dari luar negara
seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong dari serata dunia dan
membuktikan kepada mereka bahawa Malaysia bukan sahaja cemerlang dari segi
penganjuran sukan bertaraf antarabangsa tetapi juga terbilang dalam bidang
pelancongan. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan
berterusan tanpa menunggu
musim-musim tertentu sahaja.
Dengan
cara ini, kita
dapat meningkatkan ekonomi negara dan mengekalkan pulangan yang diperoleh
daripada kedatangan pelancong ke negara kita. Dalam usaha untuk memasarkan
jenama Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang patut dikunjungi, kerajaan
melalui pelbagai agensinya begitu agresif mempromosikan produk pelancongan
kepada warga dunia kerana kata orang tak kenal, maka tak cinta. Selain itu, Kementerian Pelancongan juga aktif
menyertai pameran-pameran pelancongan terutama di pasaran baharu yang
berpotensi besar seperti negara-negara Timur Tengah dan Eropah Timur. Hasilnya,
promosi yang telah diatur pasti akan menggalakkan lagi pertumbuhan sektor
pelancongan di Malaysia.
Pada masa yang sama juga kerajaan sentiasa
berusaha untuk mempelbagaikan produk pelancongan negara agar tidak terlalu
bergantung kepada produk sedia ada. Kini, terdapat pelbagai produk pelancongan
yang cuba diteroka dan dimajukan untuk memenuhi citarasa pelancong yang
pelbagai. Antara lain, kerajaan mula menonjolkan pelancongan sukan melalui
penganjurkan banyak acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Formula One dan Tour
De Langkawi. Malahan, kerajaan tidak ketinggalan memajukan sektor eko pelancongan
lantaran kekayaan khazanah alam semula jadi di Malaysia seperti Taman Negara
Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telahpun diiktiraf sebagai Tapak Warisan
Dunia oleh UNESCO. Tidak ketinggalan, kerajaan juga menggalakkan agro
pelancongan menerusi acara-acara sepeti Pesta Buah-buahan Tempatan dan Pesta
Flora. Dalam tempoh terdekat ini pula, kerajaan telah bersedia untuk memajukan
pelancongan kesihatan lantaran kemajuan negara dalam bidang perubatan. Di
samping itu, pelancongan pendidikan turut disediakan bagi menarik minat pelajar
asing menimba ilmu di menara gading tempatan yang menawarkan pelbagai kursus
bertaraf dunia. Deduksinya, produk pelancongan yang pelbagai ini amat sesuai
dengan moto Kempen Zoom Malaysia, iaitu “Segala-galanya terdapat di Malaysia”.
Tidak dapat kita nafikan bahawa masyarakat
setempat menjadi tulang belakang kepada usaha mengangkat nama Malaysia sebagai
destinasi pelancongan dunia. Sebagai tuan rumah kepada para pelancong, warga
tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi bahasa bagi memastikan
para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka dialu-alukan. Di samping itu,
jika merancang untuk bercuti dan melancong, rakyat tempatan hendaklah
menjadikan destinasi pelancongan tempatan sebagai pilihan.
Salah satu cara sokongan kerajaan dalam
meningkatkan industri pelancongan adalah melalui, fungsi tourism Malaysia.
Tourism Malaysia akan memanfaatkan promosi dan pemasaran digital sepenuhnya
melalui penggunaan perkakasan interaktif dan media sosial yang inovatif untuk
menawarkan pengalaman pelancongan yang disesuaikan mengikut keperluan segmen
pasaran khusus. Media sosial akan digunakan untuk menguasai pasaran pelancong
memandangkan pandangan dan ulasan dalam talian menjadi semakin popular sebagai
rujukan kepada pelancong dalam membuat keputusan pengembaraan. Peserta industri
akan digalakkan untuk memaksimumkan potensi pemasaran digital dengan
memanfaatkan platform yang disediakan oleh Tourism Malaysia. Platform pemasaran
akan dipertingkatkan untuk lebih mesra pengguna, interaktif dan mempunyai
kandungan yang menarik dan relevan.
Pembangunan dan pelaksanaan produk serta
kemudahan secara bersepadu antara agensi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri
dengan pihak berkuasa tempatan akan dipertingkatkan. Usaha ini adalah untuk
membolehkan kecekapan dan keberkesanan dalam pembangunan pelancongan secara
lestari dengan penggunaan sumber secara optimum dapat dicapai. Semua projek
pelancongan akan dibangunkan berdasarkan Dasar Pelancongan Negara.
Selain daripada kerajaan merangka
usaha-usaha untuk perkembangan industri pelancongan, sektor swasta juga perlu
turut sama dalam pembangunan industri tersebut supaya matlamat dapat dicapai.
Antara usaha sektor swasta yang ada adalah melalui syarikat penerbangan Air
Asia di mana Air Asia mengadakan pakej tambang murah kepada para pelancong yang
menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara. Hal ini dapat membantu kerajaan
mempromosikan negara dengan meletakkan imej-imej menarik yang terdapat di
Malaysia pada badan kapal terbang untuk menarik pelancong. Elang Wah Sdn Bhd
merupakan syarikat yang diterajui Syed Azhar Syed Nadzir. Syarikat itu
ditubuhkan pada 2006 dengan usaha sama rakan niaga, Rizal Ashram Ramli. Ia
merupakan salah satu usaha yang sangat baik untuk pembangunan industri
pelancongan dengan penggunaan bas dua tingkat dan pengenalan perkhidmatan bas
KL Hop-On-Hop Off dilihat sebagai tepat pada masanya sempena Tahun Melawat
Malaysia.
Langkah-langkah untuk mendorong dan membangunkan industri
pelancongan.
Kerajaan menyarankan langkah
utama untuk meningkatkan sektor pelancongan Negara adalah menerusi
memperlengkapkan kemudahan dan prasarana pengangkutan dan perhubungan di
Malaysia sehingga menjadi prasarana kelas pertama.Hal ini kerana pelancong yang
berkunjung ke sesebuah Negara ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh
itu, kerajaan perlu untuk memperlengkapkan kemudahan pengangkutan dan
komunikasi yang ada khususnya untuk memudahkan pelancong sampai ke destinasi
yang dituju di Malaysia.
Selain itu, kerajaan menggalakkan usaha
untuk meningkatkan kemudahan penginapan yang lebih selesa seperti kualiti
hotel, chalet,motel, tandas,dan bekalan air serta elektrik yang turut menjadi
faktor penting dalam menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia. Penginapan yang
selesa dan lengkap menyumbang dalam menentukan sama ada pelancong akan tinggal
lama atau sebaliknya. Keselesaan dan kelengkapan mendorong pelancong tersebut
untuk lebih gemarkan perkhidmatan pelancongan negara kita sekaligus
meningkatkan lagi aliran masuk mata wang asing. Pembinaan hotel dan rumah
penginapan yang tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan tidak kira di
bandar ataupun desa di seluruh negara membuktikan kesungguhan negara dalam
usaha menggalakan kehadiran pelancong ke Malaysia. Penyediaan kemudahan
penginapan harus juga diambil kira kadar sewa dan taraf sesebuah hotel yang
dibina. Kemudahan penginapan yang tidak selesa dan tidak lengkap perlu diatasi
kerana keselesaan pelancong asing perlu dititikberatkan agar industri
pelancongan dapat dibangunkan.
Bagi memastikan usaha menggalakkan sektor
pelancongan terus dilaksanakan, kerajaan mempergiatkan promosi untuk
merancakkan aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Hal ini menjadi
kesinambungan kepada usaha-usaha yang dilaksanakan pada awalnya. Promosi
tentang destinasi pelancongan yang menarik, program-program kebudayaan dan
kesenian serta karnival jualan besar-besaran boleh dilaksanakan dengan komitmen
yang padu. Sebagai contoh, kementerian Pelancongan sendiri telah mengadakan
promosi kebudayaan bagi menarik pelancong Asia Barat seperti di Dubai dan Arab
Saudi. Usaha memperkenalkan negara ini juga boleh dijalankan melalui penggunaan
teknologi maklumat seperti internet untuk menyebarkan maklumat tentang
pelancongan di Negara ini dengan meluas. Penggunaan internet dapat memastikan
semua pelancong memperoleh maklumat yang tepat mengenai destinasi pelancongan
menarik dan aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat
memastikan semua maklumat pelancongan dapat disebarkan secara berkesan bagi
menarik kunjungan pelancong. Hal ini juga mampu menjadi daya tarikan pelancong
untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati seterusnya
merealisasikan niat kerajaan untuk membangunkan sektor pelancongan negara.