Wednesday, 19 October 2016

Industri Pelancongan Di Malaysia





Apa itu industri pelancongan?

Oxford English Dictionary mendefinisikan pelancongan adalah orang yang membuat lawatan atau kunjungan pada masa kelapangan (Honey, 1999). Di Malaysia industri pelancongan mula muncul pada akhir tahun 1960. Industri pelancongan tidak dianggap sebagai aktiviti ekonomi yang utama sehingga ke tahun 1970 kerana pada masa itu, sumbangan komoditi utama seperti getah dan bijih timah adalah jauh lebih penting. Pada tahun 1970, kerajaan Malaysia mula membangunkan industri pelancongan untuk memenuhi beberapa objektif seperti peningkatan pendapatan dalam pertukaran mata wang asing, meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan, menggalakkan pembangunan kawasan, mempelbagaikan ekonomi dan meningkatkan hasil kerajaan.
     Pelancongan mempunyai pelbagai maksud mengikut perspektif dan pandangan pihak- pihak yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan industri pelancongan. Ini termasuklah pelancong itu sendiri, organisasi penginapan dan pengangkutan, organisasi pendidikan, pihak kerajaan dan sebagainya lagi.Perkataan tourism datang daripada perkataan Latin iaitu tornare dan juga Greek iaitu tornos yang membawa maksud pergerakan dalam suatu bulatan. Pada awalnya, Jafari(1977) mendefinisikan pelancongan sebagai, “Suatu kajian manusia yang bertentangan dengan habitat semula jadi mereka serta penglibatan industri yang bertindak balas pada keperluan mereka, dan juga kesan ke atas diri mereka dan industri itu daripada sudut sosio budaya, ekonomi dan persekitaran.” Pengertian yang meluas ini sukar difahami kerana ia tidak menjelaskan secara mendalam apa yang dimaksudkan sebagai pelancongan dan apakah faktor-faktor yang terlibat dalam membangunkan industri ini.Oleh itu, wujud definisi lain yang cuba memberi penjelasan secara mendalam mengenai pelancongan. Sebagai contoh, Leiper (1981) menjelaskan pelancongan sebagai, “Suatu sistem terbuka yang mempunyai hubungan dengan persekitaran yang luas, elemen manusia iaitu pelancong, elemen kawasan iaitu kawasan asal, kawasan persinggahan dan kawasan destinasi yang terpilih, elemen ekonomi iaitu industri pelancongan dan elemen dinamik iaitu terdiri daripada individu yang mengembara bagi tujuan berehat jauh dari tempat asal mereka selama lebih kurang satu hari.”Walaupun definisi ini agak mendalam, sekurang-kurangnya ia memberi pengertian yang jelas berkenaan pelancongan dan elemen-elemen yang terlibat dalam industri pelancongan secara khususnya. Kelima-lima elemen itu adalah persekitaran, manusia,kawasan,ekonomi dan dinamik. Oxford English Dictionary mendefinisikan pelancongan adalah orang yang membuat lawatan atau kunjungan pada masa kelapangan (Honey, 1999). Di Malaysia industri pelancongan mula muncul pada akhir tahun 1960. Industri pelancongan tidak dianggap sebagai aktiviti ekonomi yang utama sehingga ke tahun 1970 kerana pada masa itu, sumbangan komoditi utama seperti getah dan bijih timah adalah jauh lebih penting. Pada tahun 1970, kerajaan Malaysia mula membangunkan industri pelancongan untuk memenuhi beberapa objektif seperti peningkatan pendapatan dalam pertukaran mata wang asing, meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan, menggalakkan pembangunan kawasan, mempelbagaikan ekonomi dan meningkatkan hasil kerajaan.


Tahap pembangunan industri pelancongan.

Pelancongan merupakan industri perkhidmatan utama yang kian berkembang maju dan mendatangkan keuntungan besar dalam bentuk tukaran asing serta memasyhurkan Malaysia di mata dunia. Pada tahun 2000, seramai 10.2 juta orang pelancong (termasuk  pelancong domestik) berkunjung ke Malaysia yang menghasilkan pendapatan RM20 bilion, termasuk RM17 bilion daripada pertukaran asing (Berita Harian, 17 Okt 2015).Angka tersebut melebihi jangkaan 6.4 juta pelancong yang diramalkan akan datang ke Malaysia. Malaysia juga merupakan negara ketiga paling ramai menerima pelancong di Asia Timur – selepas China dan Hong Kong.
     Malaysia merupakan destinasi pelancongan tropika indah yang sangat berpotensi di Asia yang bukan sahaja dapat menarik pelancong antarabangsa tetapi juga menawan warga tempatan. Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai faktor utama dalam pembangunan  Malaysia menuju negara maju dalam abad ini. Potensi industri pelancongan sebagai penjana ekonomi baru negara hanya dapat direalisasikan jika usaha-usaha memajukan dan membangunkan industri pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Isu-isu seperti pelancongan eko, alam sekitar, visa, kemudahan lapangan terbang, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong, semuanya menyumbang secara positif dan negatif kepada jumlah pelancong yang melawat Malaysia.Kejayaan industri pelancongan tidak semata-mata bergantung kepada kempen dan promosi galakan (melalui pengiklanan yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit) di dalam dan luar negara.
     Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan telah ditubuhkan pada tahun 1987. Kementerian ini memainkan peranan dalam menyediakan insentif, meningkatkan mutu kemudahan asas, membuat promosi yang lebih menyeluruh dan menyediakan peruntukan untuk memajukan industri ini. Kemudiannya kementerian ini telah ditukarkan kepada Kementerian Pelancongan Malaysia sehingga ke hari ini.
     Sektor pelancongan negara merupakan salah satu sektor yang penting dalam ekonomi negara. Sehingga kini, sektor pelancongan merupakan sektor kelima terbesar Negara selepas sektor perkhidmatan kewangan, kelapa sawit, borong dan runcit, gas dan tenaga, dan petroleum. Namun begitu pada peringkat awal selepas pasca kemerdekaan Malaysia, kerajaan tidak memberi penekanan terhadap sektor pelancongan. Kerajaan pada ketika itu lebih memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur negara dan melawan ancaman komunis. Selain itu, faktor ancaman dari luar seperti konfrantasi dengan Indonesia turut menjejaskan fokus kerajaan pada ketika itu. Ia sekaligus melambatkan pekembangan sektor pelancongan di Malaysia.
     Pada era tahun 60-an, sektor pelancongan masih belum memainkan peranan yang penting terhadap perkembangan ekonomi negara. Kerajaan pada ketika itu memberi tumpuan kepada sektor hasil bumi seperti bijih timah dan getah. Walaubagaimanapun, sektor pelancongan negara telah mula dilihat mengalami perkembangan positif pada era tahun 70an. Ketibaan pelancong melalui udara dan air ke Malaysia telah meningkat.
     Sektor pelancongan negara dilihat semakin berkembang pada awal tahun 80-an. Pada ketika ini negara sudah aman daripada ancaman komunis dan juga ancaman luar. Pada tahun 1987, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah ditubuhkan. Kemudian pada tahun 1990 kerajaan telah menaiktaraf kementerian tersebut kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Dengan penubuhan tersebut, ia telah merancakkan lagi pembangunan industri pelancongan negara.
     Dalam konteks dunia hari ini, pelancongan merupakan salah satu kegiatan ekonomi dan sosial yang semakin penting. Jumlah pelancong dalam negeri dan antarabangsa semakin meningkat malah, beberapa buah negara di dunia kini memajukan sektor pelancongan sebagai sektor utama yang menjana pendapatan negara (Inskeep, 1996). Pelancongan juga merupakan sektor yang melibatkan peranan yang saling kaitan antara pihak kerajaan, bukan kerajaan dan juga orang awam (Salah Wahab dan Cooper, 2003).
     Dalam konteks Malaysia, pelancongan terus menjadi sumber utama tukaran wang asing yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan guna tenaga. Kedatangan pelancong sejumlah 16.4 juta pada tahun 2005 telah menyumbang sebanyak RM 18.1 bilion kepada pendapatan negara (Malaysia, 2006). Perkembangan sektor pelancongan di Malaysia telah dipengaruhi oleh perubahan yang besar dan potensi industri pelancongan pada masa hadapan. Memandangkan industri pelancongan kini merupakan satu pemangkin kepada pendapatan negara, maka pendekatan yang bersepadu dilaksanakan dalam perancangan dan perlaksanaan industri pelancongan secara mampan. (Nurulashila Khalid, 2006).
     Ironinya, begitulah serba ringkas senario perkembangan sektor pelancongan di dunia sehingga ke hari ini. Malah, kini dengan peningkatan ekonomi serta jalinan hubungan yang baik antara sebuah negara dengan negara yang lain, sektor pelancongan terus menjadi sektor yang semakin berkembang terutamanya dalam konteks globalisasi dan dunia tanpa sempadan.
     Kini Malaysia di iktiraf pada peringkat global sebagai antara destinasi pelancongan yang utama, dengan kedudukan di antara 10 yang teratas dari segi peningkatan pelancong dan antara 15 yang teratas dari segi penerimaan global. Industri pelancongan juga merupakan penyumbang yang penting kepada ekonomi Negara.Malaysia mempunyai kedudukan  yang kukuh untuk melonjakkan dirinya menjadi destinasi pelancongan yang utama. Industri pelancongan di Malaysia sudah sememangnya besar, dan telah pun berkembang dengan pantas dalam tempoh 10 tahun yang lepas dan juga mempunyai kedudukan daya saing global yang kukuh. Asas yang kukuh ini dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi Negara.

Kepentingan dan sumbangan industri pelancongan terhadap pembangunan ekonomi negara.

Antara kepentingan dan sumbangan industri pelancongan terhadap pembangunan ekonomi negara kita ialah dapat meningkatkan pengaliran wang asing, dapat memajukan bidang perniagaan di Malaysia, membuka peluang pekerjaan yang lebih luas, memajukan sektor pengangkutan dan perhubungan.
     Dari segi ekonomi,sektor pelancongan dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita.Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini. Ini dapat dilakukan sama ada di bank tempatan atau di pusat pertukaran mata wang asing. Mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Peniaga mata wang asing juga mendapat keuntungan daripada pernigaan yang dijalankan. Pengaliran masuk mata wang asing ke negara kita bukan sahaja menguntungkan entiti perniagaan bahkan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat tempatan dari luar negara.
     Di samping itu,sektor pelancongan juga dapat memajukan bidang perniagaan di Malaysia. Ini adalah kerana pelancong asing yang datang ke Malaysia memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong dan perkhidmatan yang lain-lain. Pelancong asing amat menggemari makanan sama ada makanan tradisonal mahu pun makanan barat di Malaysia. Mereka diberi pilihan yang amat banyak sama ada menikmati makanan di hotel bertaraf lima bintang, medan selera yang besar dan berhawa dingin mahupun di kedai dan warung yang terletak di tepi jalan. Mereka juga boleh menikmati hidangan makanan laut di restoran yang didirikan secara terapung di atas air. Sambil menikmati makanan, mereka dapat menghirup panorama yang amat cantik dan menghirup udara segar di tepi laut. Permintaan yang tinggi terhadap makanan ini mewujudkan peluang perniagaan yang luas kepada usahawan tempatan. Pusat-pusat penginapan juga giat dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan di kawasan peranginan seperti di pulau dan tepi pantai. Pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau menginap secara pakej seperti ”Eco-Tuorism” yang membolehkan pelancong asing menginap di rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat termasuk cara berpakaian, makanan tradisional dan sebagainya. Pelancong juga memerlukan perkhidmatan pengangkutan untuk bergerak dari satu lokasi pelancongan ke lokasi yang lain. Ini membolehkan pengusaha bidang pengangkutan seperti bas, teksi, van, bot, feri dan lain-lain mendapat peluang untuk menjalankan perniagaan. Oeh itu,sektor pelancongan ini telah banyak menyumbang dari segi ekonomi terhadap negara kita.
     Dari segi politik,sektor pelancongan dapat memperkenalkan negara Malaysia ke seantero dunia.Misalnya, melalui kejohanan perlumbaan kereta Formula 1 di litar Sepang, Sukan Komanwel 1998, kita dapat mempopularkan negara kita dalam kalangan peminat sukan dunia. Selain itu, kita dapat membuktikan bahawa kita mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij dunia yang lengkap dengan pelbagai kemudahan prasarana. Slogan ‘’Malaysia Boleh’’ telah membuktikan keupayaan negara kita dalam penganjuran sukan yang bertaraf antarabangsa tersebut. Melalui penganjuran Kejohanan F1, Malaysia dapat dipromosi ke seluruh dunia dengan kos yang rendah melalui siaran langsung kejohanan tersebut ke seluruh dunia. Ini telah membuktikan bahawa tarikan penganjuran sukan bertaraf dunia bukan sahaja menggalakkan kedatangan pelancong ke negara kita bahkan dapat mempromosi Malaysia kepada dunia luar secara meluas dengan kos yang minima bertepatan dengan maksud peribahasa, ”Sambil Menyelam Minum Air”.

Halangan / Cabaran industri pelancongan.

Isu moral pelancong asing di negara sebenarnya adalah satu cabaran baharu industri pelancongan di Malaysia. Kes-kes seperti pelancong asing berjemur di pantai tanpa pakaian dan separuh bogel adalah satu cabaran yang sukar ditangani sekiranya mereka ini tidak memahami budaya negara ini atau dengan sengaja tidak mahu menghormati peraturan-peraturan yang telah ditetapkan di sesuatu destinasi pelancongan kita. Setiap lokasi pelancongan di negara kita tidak kira sama ada pantai, pulau, tempat bersejarah, tanah tinggi dan sebagainya sudah mempunyai peraturan-peraturan yang ditulis dalam pelbagai bahasa untuk mengingatkan setiap pelancong tentang apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh di kawasan-kawasan pelancongan tersebut. Maka, ini semua bergantung kepada penguatkuasaan, pemantauan dan sikap pelancong itu sendiri untuk mengelakkan berlakunya perbuatan-perbuatan yang sumbang pada pandangan rakyat tempatan kita. Pelancong yang bertanggungjawab tentunya akan menghormati budaya, agama dan sensitiviti penduduk di sesebuah negara yang dilawati, bukannya membawa pelbagai masalah kepada negara yang dikunjungi.
     Antara cabaran dan halangan lain yang dihadapi oleh sektor pelancongan ialah persaingan sektor pelancongan dengan negara-negara yang lain. Hal ini demikian,bukan sahaja negara kita tetapi negara-negara yang lain juga mengetahui kebaikan dan kepentingan sektor pelancongan terhadap sesebuah negara. Setiap negara mempunyai keistimewaan tersendiri yang menjadi pusat tarikan masing-masing termasuklah pusat membeli-belah, makanan, tempat tema, keindahan alam semulajadinya dan banyak lagi. Justeru itu, kreativiti sesebuah negara dalam mempromosikan negara masing-masing adalah amat penting untuk menjadikan Malaysia destinasi utama pelancong dan kita hendaklah bersaing dengan negara lain untuk menaikkan nama Malaysia di mata dunia.Oleh itu, seluruh rakyat Malaysia haruslah membuat persediaan yang cukup untuk menarik minat para pelancong ke Malaysia.
     Kestabilan politik sesebuah negara amat memainkan peranan dan sekiranya kestabilan politik ini tidak dapat dicapai ia juga akan memberi impak yang besar kepada negara termasuklah pelaburan, perusahaan mahupun pelancongan. Ketidakstabilan politik menyebabkan pembangunan negara menjadi perlahan yang menyebabkan pembinaan prasarana untuk pelancong semakin berkurangan, serta semua aktiviiti pembangunan yang dirancang juga akan terganggu. Selain itu, ketidakstabilan politik juga menyebabkan imej negara turut terjejas. Ramai pelancong tidak akan melancong ke negara ini dan secara langsung mereka akan mempengaruhi rakan-rakan mereka yang lain. Sebagai contoh adalah rusuhan atau peperangan yang berlaku di sesebuah negara menyebabkan pelancong takut untuk pergi ke negara tersebut. Imej negara ini juga dikhuatiri akan berlanjutan dalam tempoh yang lama walaupun kestabilan politik telah dicapai disebabkan imej buruk yang telah terjejas. Jelaslah, politik yang tidak stabil akan membawa banyak kesan buruk pada sektor pelancongan.
     Di samping itu, pencemaran alam sekitar juga merupakan salah satu cabaran sektor pelancongan di negara kita. Hal ini disebabkan, pencemaran alam sekitar kebelakangan ini menjadi semakin buruk akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir ahli masyarakat dan telah merosakkan kecantikkan alam sekeliling kita. Pada masa kini,negara kita mempunyai alam sekeliling yang cantik sekali dan telah menjadi tulang belakang bagi sektor pelancongan di negara kita. Jika pencemaran alam sekitar menjadi buruk, sektor pelancongan di negara kita pasti akan terjejas kerana pelancong-pelancong  hendak menikmati persekitaran yang cantik dan bersih bukan persekitaran yang kotor serta busuk.
      Alam sekitar merupakan elemen yang penting dalam industri pelancongan kerana kebanyakan pelancong akan melancong ke negara kita kerana keindahan alam semulajadi negara kita. Tidak bermaknalah jika negara mempunyai banyak keindahan alam yang boleh dikunjungi tetapi berlakunya pencemaran tersebut yang mencacatkan keindahan alam secara langsung memberi imej yang negatif  kepada negara. Justeru, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab masing-masing untuk menjaga kebersihan alam sekitar untuk menarik lebih ramai pelancong dan menjaga imej sesebuah negara. Tanggungjawab ini bukan sahaja perlu dipikul oleh pihak kerajaan atau pihak yang berkenaan sahaja bahkan seluruh masyarakat perlu mempunyai kesedaran tentang alam sekitar untuk kebaikan bersama.
     Selain daripada itu, budaya tempatan yang semakin dilupai oleh orang ramai juga merupakan salah satu faktor cabaran bagi perkembangan industri pelancongan. Pada era globalisasi ini, terdapat ramai remaja mengabaikan kebudayaan sendiri dan mempelajari budaya barat. Kebudayaan merupakan faktor yang penting dalam sektor pelancongan kerana pelancong-pelancong ingin merasai dan mengetahui kebudayaan tradisi negara yang tidak ada di negara lain. Antaranya adalah seni silat, tarian tradisional, pakaian tradisional dan banyak lagi yang semakin dilupakan oleh anak muda masa kini. Jika budaya negara kita tidak diwarisi oleh anak-anak muda ketika ini, keunikan sesebuah negara akan hilang dan akan membawa kepada kekurangan pelancong yang akan datang ke negara kita.
     Kesimpulannya, negara kita akan menghadapi banyak cabaran dalam sektor pelancongan pada masa hadapan. Kita sebagai penduduk di negara kita haruslah menghulurkan tangan bagai aur dengan dengan tebing untuk menghadapi segala cabaran pada masa hadapan. Marilah kita bersama-sama membantu untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai sumber pendapatan ekonomi yang kukuh  di negara kita.

Sistem sokongan oleh pihak kerajaan dan swasta yang ditawarkan untuk pembangunan industri pelancongan.

Di dalam menjalankan tugas-tugas yang diperuntukkan, garis-garis yang ditetapkan oleh Perbadanan adalah seperti memperkenalkan Malaysia di dalam pasaran antarabangsa dan serantau, menambahkan perjalanan warganegara Malaysia di masa cuti di antara negeri bagi menggiatkan lagi perkembangan pelancongan dalam negeri menyertai dalam pembangunan fizikal industri pelancongan, mengadakan perhubungan perwakilan dan menjalani tugas-tugas yang berhubung dengan pelancongan Antarabangsa dan serantau, menempatkan Malaysia sebagai pusat konvensyen, mengikuti perkembangan pembangunan dan mempastikan keperluan sekarang dan masa depan bagi pelancong-pelancong dalam negeri dan luar negeri dan juga membuat pengesyoran bagi pembangunan Wilayah, mengumpul, mengolah data-data pelancongan dan keterangan-keterangannya bagi penggunaan statistik pelancongan, mengatur, mengawal dan menentukan Industri Pelancongan berkembang bagi kepentingan negara.Dalam Rancangan Malaysia ke-6 (RMK-6: 1991-1995), kerajaan telah bekerjasama dengan pihak swasta dalam membangunkan produk-produk pelancongan baru. Kemudian, pada tahun 1994, kerajaan sekali lagi melancarkan Tahun Melawat Malaysia 1994 (TMM 94) dengan menawarkan 170 program dan acara merangkumi kebudayaan, kesenian, kraftangan, perayaan kebangsaan, sukan, konvensyen dan pameran.
      Pelbagai aktiviti yang menarik telah  diadakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan.  Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti  pameran kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi   yang   lengkap   dan   meluas.  Penganjuran  sukan   bertaraf   antarabangsa   dapat memperkenalkan  negara  kepada perwakilan atau atlet-atlet dari luar  negara  seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong dari serata dunia dan membuktikan kepada mereka bahawa Malaysia bukan sahaja cemerlang dari segi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa tetapi juga terbilang dalam bidang pelancongan. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan   tanpa   menunggu   musim-musim   tertentu   sahaja.
     Dengan   cara   ini,   kita   dapat meningkatkan ekonomi negara dan mengekalkan pulangan yang diperoleh daripada kedatangan pelancong ke negara kita. Dalam usaha untuk memasarkan jenama Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang patut dikunjungi, kerajaan melalui pelbagai agensinya begitu agresif mempromosikan produk pelancongan kepada warga dunia kerana kata orang tak kenal, maka tak cinta. Selain  itu, Kementerian Pelancongan juga aktif menyertai pameran-pameran pelancongan terutama di pasaran baharu yang berpotensi besar seperti negara-negara Timur Tengah dan Eropah Timur. Hasilnya, promosi yang telah diatur pasti akan menggalakkan lagi pertumbuhan sektor pelancongan di Malaysia.
     Pada masa yang sama juga kerajaan sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan produk pelancongan negara agar tidak terlalu bergantung kepada produk sedia ada. Kini, terdapat pelbagai produk pelancongan yang cuba diteroka dan dimajukan untuk memenuhi citarasa pelancong yang pelbagai. Antara lain, kerajaan mula menonjolkan pelancongan sukan melalui penganjurkan banyak acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Formula One dan Tour De Langkawi. Malahan, kerajaan tidak ketinggalan memajukan sektor eko pelancongan lantaran kekayaan khazanah alam semula jadi di Malaysia seperti Taman Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telahpun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Tidak ketinggalan, kerajaan juga menggalakkan agro pelancongan menerusi acara-acara sepeti Pesta Buah-buahan Tempatan dan Pesta Flora. Dalam tempoh terdekat ini pula, kerajaan telah bersedia untuk memajukan pelancongan kesihatan lantaran kemajuan negara dalam bidang perubatan. Di samping itu, pelancongan pendidikan turut disediakan bagi menarik minat pelajar asing menimba ilmu di menara gading tempatan yang menawarkan pelbagai kursus bertaraf dunia. Deduksinya, produk pelancongan yang pelbagai ini amat sesuai dengan moto Kempen Zoom Malaysia, iaitu “Segala-galanya terdapat di Malaysia”.
     Tidak dapat kita nafikan bahawa masyarakat setempat menjadi tulang belakang kepada usaha mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia. Sebagai tuan rumah kepada para pelancong, warga tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi bahasa bagi memastikan para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka dialu-alukan. Di samping itu, jika merancang untuk bercuti dan melancong, rakyat tempatan hendaklah menjadikan destinasi pelancongan tempatan sebagai pilihan.
     Salah satu cara sokongan kerajaan dalam meningkatkan industri pelancongan adalah melalui, fungsi tourism Malaysia. Tourism Malaysia akan memanfaatkan promosi dan pemasaran digital sepenuhnya melalui penggunaan perkakasan interaktif dan media sosial yang inovatif untuk menawarkan pengalaman pelancongan yang disesuaikan mengikut keperluan segmen pasaran khusus. Media sosial akan digunakan untuk menguasai pasaran pelancong memandangkan pandangan dan ulasan dalam talian menjadi semakin popular sebagai rujukan kepada pelancong dalam membuat keputusan pengembaraan. Peserta industri akan digalakkan untuk memaksimumkan potensi pemasaran digital dengan memanfaatkan platform yang disediakan oleh Tourism Malaysia. Platform pemasaran akan dipertingkatkan untuk lebih mesra pengguna, interaktif dan mempunyai kandungan yang menarik dan relevan.
     Pembangunan dan pelaksanaan produk serta kemudahan secara bersepadu antara agensi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dengan pihak berkuasa tempatan akan dipertingkatkan. Usaha ini adalah untuk membolehkan kecekapan dan keberkesanan dalam pembangunan pelancongan secara lestari dengan penggunaan sumber secara optimum dapat dicapai. Semua projek pelancongan akan dibangunkan berdasarkan Dasar Pelancongan Negara.
     Selain daripada kerajaan merangka usaha-usaha untuk perkembangan industri pelancongan, sektor swasta juga perlu turut sama dalam pembangunan industri tersebut supaya matlamat dapat dicapai. Antara usaha sektor swasta yang ada adalah melalui syarikat penerbangan Air Asia di mana Air Asia mengadakan pakej tambang murah kepada para pelancong yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara. Hal ini dapat membantu kerajaan mempromosikan negara dengan meletakkan imej-imej menarik yang terdapat di Malaysia pada badan kapal terbang untuk menarik pelancong. Elang Wah Sdn Bhd merupakan syarikat yang diterajui Syed Azhar Syed Nadzir. Syarikat itu ditubuhkan pada 2006 dengan usaha sama rakan niaga, Rizal Ashram Ramli. Ia merupakan salah satu usaha yang sangat baik untuk pembangunan industri pelancongan dengan penggunaan bas dua tingkat dan pengenalan perkhidmatan bas KL Hop-On-Hop Off dilihat sebagai tepat pada masanya sempena Tahun Melawat Malaysia.

Langkah-langkah untuk mendorong dan membangunkan industri pelancongan.

Kerajaan menyarankan langkah utama untuk meningkatkan sektor pelancongan Negara adalah menerusi memperlengkapkan kemudahan dan prasarana pengangkutan dan perhubungan di Malaysia sehingga menjadi prasarana kelas pertama.Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke sesebuah Negara ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan perlu untuk memperlengkapkan kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya untuk memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang dituju di Malaysia.
     Selain itu, kerajaan menggalakkan usaha untuk meningkatkan kemudahan penginapan yang lebih selesa seperti kualiti hotel, chalet,motel, tandas,dan bekalan air serta elektrik yang turut menjadi faktor penting dalam menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia. Penginapan yang selesa dan lengkap menyumbang dalam menentukan sama ada pelancong akan tinggal lama atau sebaliknya. Keselesaan dan kelengkapan mendorong pelancong tersebut untuk lebih gemarkan perkhidmatan pelancongan negara kita sekaligus meningkatkan lagi aliran masuk mata wang asing. Pembinaan hotel dan rumah penginapan yang tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan tidak kira di bandar ataupun desa di seluruh negara membuktikan kesungguhan negara dalam usaha menggalakan kehadiran pelancong ke Malaysia. Penyediaan kemudahan penginapan harus juga diambil kira kadar sewa dan taraf sesebuah hotel yang dibina. Kemudahan penginapan yang tidak selesa dan tidak lengkap perlu diatasi kerana keselesaan pelancong asing perlu dititikberatkan agar industri pelancongan dapat dibangunkan.
     Bagi memastikan usaha menggalakkan sektor pelancongan terus dilaksanakan, kerajaan mempergiatkan promosi untuk merancakkan aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Hal ini menjadi kesinambungan kepada usaha-usaha yang dilaksanakan pada awalnya. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, program-program kebudayaan dan kesenian serta karnival jualan besar-besaran boleh dilaksanakan dengan komitmen yang padu. Sebagai contoh, kementerian Pelancongan sendiri telah mengadakan promosi kebudayaan bagi menarik pelancong Asia Barat seperti di Dubai dan Arab Saudi. Usaha memperkenalkan negara ini juga boleh dijalankan melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet untuk menyebarkan maklumat tentang pelancongan di Negara ini dengan meluas. Penggunaan internet dapat memastikan semua pelancong memperoleh maklumat yang tepat mengenai destinasi pelancongan menarik dan aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan dapat disebarkan secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong. Hal ini juga mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati seterusnya merealisasikan niat kerajaan untuk membangunkan sektor pelancongan negara.



No comments:

Post a Comment